emunakahat

Aplikasi Nikah Cerai Ruju' Pulau Pinang
Capaian Awam Atas Talian

Ruju'

Pengertian & Rukun-rukun

Dari segi bahasa ruju' bermaksud kembali. Dari segi Syarak ruju' ialah mengembalikan isteri yang telah diceraikan dengan talaq raj'ie kepada ikatan perkahwinan dengan suaminya menggunakan lafaz tertentu dalam tempoh iddah.

Ruju' hanya boleh dilakukan jika isteri itu telah diceraikan dengan talaq raj'ie iaitu talaq satu dan talaq dua sahaja. Sebaliknya jika isteri itu diceraikan dengan talaq bain, maka ruju' tidak boleh dilakukan.

Dalil Persyariatan

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Dan suami-suami mereka lebih berhak kembali (ruju' kepada) isteri-isteri mereka, dalam masa iddah jika mereka hendak berdamai." (Surah al-Baqarah, ayat 228)
"Talaq (yang boleh diruju' kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (ruju' dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya ) dengan cara yang baik." (Al-Baqarah ayat 229)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Tiga perkara yang dibuat bersungguh-sungguh ia akan menjadi bersungguh-sungguh, dan jika dibuat main-main pun akan menjadi bersungguh-sungguh, iaitu nikah, cerai dan ruju'." (Riwayat: Abu Daud & Inu Majah)

Rukun Ruju'

Majoriti ulama' ahli Fiqh telah bersepakat bahawa ruju' mempunyai tiga rukun utama iaitu suami, isteri dan sighah. Manakala kewujudan saksi hanya disunatkan sahaja. Ulama' juga telah menetapkan beberapa syarat bagi setiap rukun iaitu:

Suami:

  • Hendaklah suami itu telah baligh. Tidak sah ruju' suami yang belum baligh.
  • Hendaklah suami itu berakal. Tidak sah ruju' suami yang dalam keadaan gila.
  • Hendaklah suami meruju' dengan sukarela. Tidak sah ruju' suami yang dipaksa.
  • Hendaklah suami itu kekal dalam Islam. Tidak sah ruju' suami yang telah murtad.

Isteri:

  • Disyaratkan isteri itu sudah disetubuhi. Isteri yang belum disetubuhi, jika diceraikan maka akan terputus ikatan perkahwinan antara keduanya, tanpa boleh diruju' kerana si isteri itu tidak mempunyai iddah.
  • Isteri yang diruju' itu mesti ditentukan secara khusus. Jika suami itu menceraikan beberapa orang isterinya kemudian ia ruju' kepada salah seorang dari mereka dengan tidak ditentukan siapa yang diruju'nya, maka ruju'nya itu tidak sah.
  • Disyaratkan isteri itu diceraikan dengan talaq raj'ie. Jika ia ditalaq dengan talaq bain, maka ia tidak dapat diruju' lagi.
  • Terjadinya ruju' itu semasa isteri dalam iddah. Isteri tidak menafikan tempoh iddahnya masih ada ketika ia diruju'.
  • Hendaklah isteri itu tidak murtad ketika diruju'.

Sighah:

  • Hendaklah disebutkan dengan perkataan yang diertikan kepada si isteri seperti 'engkau' atau nama isteri itu atau dengan isyarat tunjuk kepada si isteri.
  • Disyaratkan sighah itu perkataan tunai, ertinya tidak digantungkan (dita'liqkan) dengan sesuatu. Contohnya perkataan suami: "Saya ruju' kepada kamu jika kamu suka." Atau "aku kembali kepada kamu jika si anu datang." Ruju yang digantungkan dengan perkataan seperti diatas tidak sah.

Jenis Lafaz Ruju'

Lafaz Sareh.

Iaitu lafaz yang terang dan jelas seperti kata suami: "Saya kembali kepada isteri saya." atau kata suami "Aku ruju' kepadamu."

Lafaz Kinayah.

Iaitu lafaz yang menggunakan bahasa sindiran atau kiasan yang membawa maksud ruju' seperti kata suami: "Saya pegang engkau.", "Engkau masih isteri aku." Jika menggunakan lafaz kinayah maka disyaratkan agar suami itu berniat untuk ruju' ketika melafazkan perkataan sindiran tersebut.

Tempoh Ruju'

Tempoh ruju' bermula daripada saat isteri diceraikan hinggalah tamat tempoh iddah atau mana-mana tempoh iddah yang terpanjang, jika isteri menjalani dua tempoh iddah. Jika tempoh iddah telah tamat, maka suami itu tidak boleh lagi melakukan ruju' melainkan dengan akad nikah dan mas kahwin yang baru.

Keadaan Isteri Yang Diceraikan Tempoh Ruju'
Isteri yang masih berhaid & tidak hamil Hingga tamat 3 kali suci
Isteri yang hamil Hingga bersalin atau keguguran
Isteri yang belum berhaid / putus haid 3 bulan (Hijrah)

Tatacara Permohonan

  1. Pemohon dan pasangan hendaklah hadir ke Pejabat Agama Daerah
  2. Pemohonan hendaklah dikemukakan beserta dokumen-dokumen (mengikut situasi) :
    • Kad pengenalan pemohon dan pasangan (salinan)
    • Pasport (jika berkenaan) (salinan)
    • Surat Perakuan Perceraian (asal)

Kandungan Semakan