emunakahat

Aplikasi Nikah Cerai Ruju' Pulau Pinang
Capaian Awam Atas Talian

Perceraian

Pengenalan

" Pergaulilah isterimu dengan baik, sekiranya kamu benci kepada mereka, boleh jadi ada yang kamu benci itu Tuhan akan menjadikan kebaikan yang banyak padanya " (surah An Nisa' ayat 19)

Definisi Perceraian

Dari segi bahasa iaitu membuka ikatan,melepaskan ikatan,pembebasan dan seumpamanya. Dari segi syarak iaitu membuka ikatan perkahwinan dengan melafazkan perkataan talaq atau cerai atau seumpamanya.

Dalil Pensyariatan

Hadith Rasululllah SAW bermaksud:"Sebenci-benci perkara yang halal disisi Allah ialah talaq." (Riwayat Abu Daud,Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

Rukun Talaq

Terdapat 5 perkara yang menjadi rukun talaq iaitu:

  1. Orang melafazkan talaq iaitu suami.
  2. Tempat yang hendak dijatuhkan talaq iaitu isteri.
  3. Berkuasa ke atas talaq dan orang yang ditalaq.
  4. Lafaz talaq,tulisan atau isyarat yang semaksud.
  5. Niat menjatuhkan talaq ketika melafazkan perkataan sindiran yang bermaksud talaq.

Lafaz Talaq

Lafaz talaq atau perceraian terbahagi kepada 2 jenis:

  1. Lafaz talaq secara jelas(sareh) iaitu lafaz yang menunjukkan maksud perceraian dengan terang dan jelas seperti menggunakan lafaz 'talaq' atau 'cerai' dan tidak memerlukan niat.
    Contohnya:"Aku ceraikan engkau dengan talaq satu atau dua atau tiga."
  2. Lafaz talaq secara sindiran (kinayah) iaitu lafaz yang tidak menunjukkan maksud perceraian.Ia mestilah disertai dengan niat untuk bercerai dan tidak peru kepada lafaz yang jelas(sareh).
    Contohnya:"Baliklah kamu kepada ibubapa kamu" atau "Saya tak hendak kamu lagi."

Hukum Perceraian

Perceraian boleh berlaku dengan berbagai cara. Ia boleh berlaku dengan lafaz yang diucapkan suami terhadap isteri, atau dengan perbuatan dan niat yang menunjukkan keinginan suami untuk menceraikan isterinya, seperti kitabah (tulisan) atau dengan menggunakan isyarat-isyarat yang tertentu.

Hukum talak atau hukum perceraian & penyelesaiannya.

Hukum Penyelesaian
Wajib Jika perselisihan antara suami dan isteri tidak menemui jalan penyelesaian dan keluarga kedua-dua belah pihak telah bersetuju, mereka perlu bercerai.
Sunat Apabila seorang suami menjatuhkan talaq ke atas isterinya kerana berkelakuan tidak baik
Makruh Jika seorang suami menjatuhkan talak ke atas isterinya yang baik tanpa terdapat apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh isterinya itu.
Haram Seorang suami menjatuhkan talak kepada isterinya yang sedang dalam keadaan haid atau nifas.
Harus Apabila tidak ada persefahaman hidup antara suami dan isteri

Jenis-jenis Penceraian

Secara teorinya, kaedah perceraian terbahagi kepada 9 jenis atau cara menurut prinsip yang berbeza:

  • Talaq Dengan Perintah Mahkamah
  • Khulu' (Tebus Talaq)
  • Perceraian Ta'liq
  • Fasakh
  • Pertukaran Agama Suami lsteri
  • Anggapan Kematian
  • Li'an
  • Ila'
  • Zihar

1. Talaq

Dengan Perintah/Izin mahkamah Perceraian didalam mahkamah yang berlaku dengan izin mahkamah, setelah suami atau isteri membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah dengan mengisi borang tertentu sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai.Borang tersebut boleh didapati di mana-mana Mahkamah Syariah yang berhampiran dengan tempat suami atau isteri bermastautin.Talaq yang dilafazkan diluar mahkamah adalah satu kesalahan dan ia perlu dirujuk ke mahkamah untuk mengesahkan lafaz tersebut.

2. Khulu' (Tebus Talaq)

Perceraian khulu' ialah suatu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan memberi wang atau lain-lain harta kepada suaminya. Suami juga boleh memohon khulu' jika ia tidak bersetuju menjatuhkan talaq dengan kerelaannya sendiri.Dalam hal ini, mahkamah boleh memerintahkan suami melafazkan cerai khulu' dan ia menjadi talaq bain-sughra.

3. Perceraian Ta'liq

Perceraian ta'liq ialah suatu bentuk perceraian yang berlaku disebabkan terjadinya sesuatu perkaar atau lafaz yang dilafazkan oleh suami selepas akad nika. Lafaz Ta'liq hanya boleh dibuat oleh pihak suami dan ia tidak boleh ditarik balik dan berkekalan hinggalah perkara yang disyaratkan itu terjadi.

Contoh lafaz ta'liq yang digunapakai mengikut undang-undang negeri Selangor:

Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya................... selama 4 bulan Hijrah berturut-turut atau saya dengan sengaja atau paksaan dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa tersebut padahal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah dan apabila sabit aduannya disisi Mahkamah Syariah dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalaqlah ia dengan cara talaq khulu'.

Seseorang isteri boleh mendapatkan perceraian mengikut syarat-syarat ta'liq yang telah dibuat oleh suami menurut surat ta'liq, atau memohon pengesahan lafaz ta'liq lain yang telah dibuat oleh suami dalam masa perkahwinan.

4. Fasakh

Fasakh ialah pembubaran perkahwinan yang dipohon samada oleh isteri atau suami dengan kebenaran oleh hakim Mahkamah Syariah disebabkan oleh alasan-alasan yang dibenarkan oleh hukum syarak iaitu:

  1. Suami tidak diketahui(ghaib) selama tempoh melebihi satu tahun.
  2. Suami cuai menyediakan peruntukan nafkah selama tiga bulan atau lebih.
  3. Suami dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.
  4. Suami tidak menunaikan nafkah batin selama tempoh satu tahun.
  5. Suami mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak mengetahui perkara itu sebelumnya.
  6. Suami telah gila selama tempoh dua tahun,mengidap penyakit kusta, vitiligo, atau penyakit kelamin yang berjangkit.
  7. Isteri yang telah dikahwinkan oleh walinya sebelum mencapai usia 16 tahun, lalu menolak perkahwinan itu sebelum berumur 18 tahun dan masih belum disetubuhi suaminya.
  8. Suami telah menganiaya isteri dengan cara:
    1. menjadikan isteri hidup menderita
    2. berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji
    3. memaksa isteri hidup secara lucah
    4. melupuskan harta isteri atau menyekat hak isteri terhadap hartanya
    5. menghalang isteri daripada menunaikan kewajipan dan amalan agama
    6. tidak adil kepada isteri-isteri(poligami)
  9. Suami dengan sengaja enggan meyetubuhi isteri dalam tempoh empat bulan.
  10. Perkahwinan tanpa izin isteri atau izinnya tidak sah disebabkan oleh paksaan,kesilapan, ketidaksempurnaan akal,atau alasan lain yang diakui oleh Hukum Syarak.
  11. Apa-apa alasan yang diiktiraf sah bagi membubarkan perkahwinanan menurut hukum syarak

Sebagai contohnya, pembubaran perkahwinan yang berlaku kerana alasan teknikal berkaitan dengan kesahihan sesuatu akad nikah seperti, wujudnya pertalian mahram antara suami dan isteri yang tidak diketahui semasa akad nikah berlangsung;berlaku perkahwinan poligami secara menghimpunkan dua orang mahram dalam satu masa; nikah tanpa wali yang diiktiraf sah; nikah secara kontrak (mut'ah); nikah melebihi daripada 4 orang isteri dalam satu masa;dan perkara ini hanya diketahui setelah perkahwinan diakadkan. Dalam hal ini, Mahkamah berbidang kuasa untuk membubarkan perkahwinan tersebut.

Fasakh yang berlaku disebabkan dari pihaksuami seperti kerana ia dihukum penjara selama tiga tahun,maka fasakh ini mengurangkan bilangan talaq yang dimiliki suami.Jika pasangan itu belum pernah bercerai maka fasakh sedemikian dikira sebagai talaq pertama. Oleh itu, suami hanya memiliki dua kali talaq lagi, jika ia mengahwininya semula.

Fasakh yang berlaku disebabkan seperti kecacatan daripada pihak isteri,seperti kecacatan anggota peranakannya maka fasakh sebegini mengurangkan bilangan talaq yang dimiliki oleh suami. Maka jika si suami mengahwininya semula, ia masih memiliki tiga kali talaq terhadap iaterinya seperti sediakala.

5. Pertukaran Agama Suami Isteri

Pertukaran agama salah satu pihak dalam perkahwinan akan menyebabkan pembubaran perkahwinan mengikut hukum syarak. Walau bagaimanapun hanya Mahkamah Syariah sahaja yang boleh mensabitkan pembubaran perkahwinan itu samada berlaku atau tidak.

6. Anggapan kematian

Isteri boleh memohon pengesahan perceraian disebabkan oleh keadaan suami yang dipercayai telah mati tanpa menemui jenazahnya, atau tidak diketahui perkhabaran mengenainya selama tempoh 4 tahun atau lebih sehingga wajar bagi si isteri untuk berkahwin semula.

7. Li'an

Perceraian boleh terjadi sebagai implikasi daripada proses Li'an. Ia merupakan sumpah yang dilafazkan oleh suami sebanyak 4 kali, iaitu menggantikan 4 orang saksi,untuk menyatakan bahawa isterinya telah berzina dengan lelaki lain atau menafikan nasab kandungan isterinya itu. Li'an mestilah dilakukan di Mahkamah Syariah.Contoh lafaz li'an ialah "Aku bersaksi dengan nama Allah bahawa aku melihat isteriku berzina". Setelah selesai proses li'an maka terbubarlah perkahwinan mareka serta tidak boleh rujuk atau berkahwin semula sesama mereka selama-lamanya.

8. Ila'

Berlaku apabila suami yang berkuasa mentalaq isterinya,bersumpah dengan menyebut nama Allah untuk tidak bersetubuh dengan isterinya selama empat bulan atau lebih. Ila' haram dilakukan kerana ia memudaratkan isteri. Jika suami berila' tidak menyetubuhi isterinya sehingga tamat tempoh ila’ maka gugurlah talaq bain ke atas isterinya sebagai alasan atas kezaliman suami dan rahmat pula bagi membolehkannya berkahwin dengan lelaki lain. Walau bagaimanapun,perceraian dengan sebab ila' hendaklah dirujukkan terlebih dahulu ke Mahkamah Syariah.
Jika suami melanggar sumpahnya dengan menyetubuhi isterinya sebelum cukup empat bulan atau lebih maka dia wajib menbayar kifarah yamin dengan memilih salah satu daripada 3 perkara berdasarkan Suarh Al-Maidah ayat 89 dan Ijma'.

  1. Memberikan makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang miskin, secupak seorang.
  2. Memberikan pakaian yang menutupi aurat kepada 10 orang miskin, sepasang seorang.
  3. Memerdekakan seorang hamba (muslim) jika suami tidak mampu melakukan salah satu daripada perkara di atas maka wajiblah dia berpuasa 3 hari,sebaik-baiknya berturut-turut.

9. Zihar

Pada zaman jahiliyah zihar digunakan untuk menceraikan isteri. Hukum ini telah dibatalkan dan ia tidak boleh lagi digunakan untuk menceraikan isteri. Maka jika si suami menziharkan isterinya dengan niat talaq, ia tetap dikira sebagai zihar.
Zihar terjadi apabila suami menyamakan isterinya dengan perempuan yang merupakan mahram muabbadnya iaitu ibu kandung, khususnya dari aspek keharaman berkahwin.
Contoh lafaz zihar ialah kata suami: ”Engkau sama seperti ibu kandungku yang haram bagiku. ”Maka haramlah bagi si suami menyetubuhi isterinya.Jika penyamaan itu bertujuan untuk memuliakan isteri seperti kata suami “kepandaian tangan kamu memasak tak ubah seperti ibuku.”, maka ia tidak dikatakan zihar menurut mazhab Syafie.
Sebenarnya zihar ini adalah satu pernyataan kinayah untuk tidak menyetuhubi isteri. Perbuatan zihar hukumya haram dan si suami dikira berdosa kerana mengharamkan yang halal.
Jika suami ingin kembali menyetubuhi isteri ia wajib membayar kifarah terlebih dahulu, mengikut keutamaan salah satu daripada perkara dibawah

  1. Memerdekakan seorang hamba (muslim)
  2. Berpuasa 2 bulan berturut-turut
  3. Memberikan makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang miskin, secupak seorang.

Sebaliknya jika suami terus tidak mahu menyetubuhi isterinya sehingga tempoh 4 bulan maka zihar ini telah hampir sama hukumnya seperti ila' kerana isteri telah dizalimi(tidak mendapat nafkah batin).

Jenis-jenis Talaq

Talaq dapat dikategorikan seperti berikut:

Talaq Raj'ie
Iaitu talaq satu atau dua yang dilafazkan oleh suami. Suami boleh kembali (rujuk) kepada isterinya dalam tempoh iddah tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin (mahar) yang baru.

Talaq Bain
Iaitu perceraian yang tidak boleh dirujuk oleh suami dalam tempoh iddah isteri,melainkan dengan akad dan mas kahwin (mahar) yang baru. Ia boleh dibahagikan kepada 2 bahagian:

Talaq bain Sughra (kecil).
Iaitu apabila suami menceraikan isteri dengan talaq raj'ie samada satu atau dua kemudian tidak merujuknya hingga tamat tempoh iddah. Begitu juga perceraian yang berlaku sebelum persetubuhan, perceraian denagn sebab 'ila,fasakh dan khulu' (tebus talaq) dan pertukaran agama suami isteri.

Talaq Bain Kubra (besar).
Iaitu talaq tiga (talaq raj'ie atau talaq bain sughra) yang telah berlaku sebanyak tiga kali. Apabila berlakunya talaq tiga, maka suami tidak boleh kembali mengahwini isterinya biasa melainkan setelah syarat berikut dipenuhi:

  1. Setelah selesai iddah isteri itu.
  2. Bekas isteri berkahwin dengnan lelaki lain.
  3. Suami kedua menyetubuhi bekas isteri itu.
  4. Suami kedua menceraikan si isteri.
  5. Selesai iddah dari suami yang kedua itu.

Talaq (Faraq) Bain Muabbad (kekal)
Iaitu pembubaran perkahwinan yang terjadi sebagai implikasi daripada proses li'an, dan tidak ada peluang lagi bagi suami isteri untuk berkahwin semula melalui apa cara sekali pun, selama-lamanya. Ia hanya berlaku dengan cara li'an.

Talaq Sunnah (Mengikut Sunnah)
Iaitu talaq yang digalakkan oleh syarak dan menurut adab yang telah ditentukan seperti mentalaq isteri yang pernah disetubuhi ketika sedang suci dan belum berlaku persetubuhan ketika suci tersebut,dan talaq yang berlaku sekali lalu diikuti dengan rujuk dalam tempoh iddahnya, kemudian talaq kedua lalu diikuti dengan rujuk. Talaq sebegini hukum asalnya diharuskan dan menjadi sunat jika dilakukan dengan alasan yang munasabah di sisi syarak dan ia dikira sah.

Talaq Bid'ah (Tidak Mengikut Sunnah)
Iaitu talaq yang tidak digalakkan oleh syarak dan tidak menurut adab yang ditentukan.Contohnya mentalaqkan isteri dengan talak tiga sekaligus, atau mentalaqkan secara berturut-turut 3 kali dalam satu majlis sebelum sempat tamat iddah bagi setiap satu talaq, atau mentalaqkan ketika keadaan haid atau nifas atau ketika masa suci tetapi telah disetubuhinya.

Ijma' ulamak telah menyatakan bahawa talaq bid'ah haram dilakukan dan pelakunya (suami) adalah berdosa.Namun jumhur ulamak menyatakan bahawa talaq bid'ah ini tetap jatuh.

Iddah

Iddah bermaksud suatu jangka waktu yang perlu dilalui oleh isteri yang telah diceraikan oleh suaminya (cerai hidup atau mati). Isteri tersebut harus menunggu supaya dapat dipastikan sama ada beliau hamil.

Jenis-jenis Iddah:

  • Iddah Talaq
    Iddah yang disebabkan oleh perceraian.

  • Iddah Wafat
    Iddah bagi seorang isteri yang kematian suaminya, iddahnya adalah empat bulan sepuluh hari.

  • Iddah Hamil
    Iddah bagi isteri yang diceraikan semasa beliau sedang hamil. Iddah isteri yang hamil ialah sampai beliau melahirkan anak.

  • Iddah Kehilangan suami
    Bagi seorang isteri yang kehilangan suami dan tidak mengetahui di mana suaminya berada, iddah isteri tersebut adalah empat tahun lamanya, dan setelah cukup empat tahun maka hendaklah dia beriddah lagi selama empat bulan sepuluh hari.

Kesan-kesan Penceraian

Islam tidak menggalakkan perceraian kerana ia akan mengakibatkan implikasi dan permasalahan yang besar disebabkan oleh perpisahan tersebut. Berbagai permasalahan akan timbul apabila berlaku perceraian di antara suami dan isteri.

Sebahagian dari kesan-kesan perceraian adalah :

  • Kesan emosi terhadap pasangan
    Setiap pasangan yang menghadapi pergolakan rumahtangga pasti akan merasakan tekanan-tekanan perasaan seperti marah, sedih, rasa bersalah, putus asa dan sebagainya. Tekanan perasaan ini bukan hanya menganggu emosi dan jiwa individu tersebut, tetapi ia juga akan mewujudkan implikasi dan kesan yang negatif terhadap keluarga, dan mereka yang terdekat.

  • Dua Tanggungan
    Bagi pasangan yang telah berpisah, mereka juga akan dibebani dengan tanggungjawab dan peranan yang bertambah;sebagai terpaksa menjadi ibu/bapa tunggal dan harus mencari nafkah.

  • Kesan Terhadap Anak
    Dalam perceraian, anak-anak menjadi mangsa terutama jiwa dan perasaan mereka. Mereka kurang mendapat kasih sayang, perhatian dan bimbingan daripada ibu bapa. Pasangan yang ingin berpisah perlu memberikan tumpuan yang mendalam terhadap kesan-kesan yang berlaku kepada anak-anak mereka.

Prosedur

  1. Telah mendapat perintah daftar daripada mana-mana Mahkamah
  2. Permohonan yang dibuat secara online hanya akan diproses apabila pemohon melaksanakan proses-proses seperti di dalam tatacara permohonan berikut :-

Tatacara Permohonan

  1. Pemohon hendaklah mengisi borang online dengan lengkap.
  2. Pemohon hendaklah mencetak borang yang telah lengkap diisi.
  3. Borang yang telah dicetak hendaklah dikemukakan sendiri oleh pemohon kepada Pejabat Agama Daerah beserta dokumen-dokumen berikut :
    • Kad pengenalan asal dan salinan
    • Perintah mahkamah asal dan salinan.
    • Surat Perakuan Nikah/Ruju' (Asal) dan Kad Perakuan Nikah
    • Salinan affidavit perceraian mahkamah (perceraian luar mahkamah)

Permohonan

Permohonan Perakuan Cerai boleh dilakukan secara online. Sebarang permohonan adalah tertakluk kepada terma dan syarat. Permohonan yang tidak lengkap/benar tidak akan dilayan. Permohonan online hanya akan diproses selepas menerima perintah pendaftaran daripada mahkamah. Sila rujuk bahagian prosedur untuk maklumat lanjut.

Daftar Sekarang

Semakan